Manusia dikurniakan akal untuk berfikir yang mana baik dan yang buruk. Seperti yang kita ketahui, perbezaan antara manusia dan makhluk-makhluk Allah yang lain adalah dengan mempunyai akal. Sebab apakah manusia mempunyai akal?. Jawapannya mestilah kerana manusia adalah makhluk yang istimewa bermula dari penciptaannya hingga ke peringkat kehidupan yang seterusnya. Manusia juga merupakan Khalifah dan hamba Allah di muka bumi ini. Namun, jika dilihat pada senario manusia zaman sekarang, ramai yang tidak memahami konsep akal yang diberikan kepada setiap manusia. Masyarakat kini tidak menghargai pemberian terbesar Allah SWT kepada mereka iaitu akal. Setiap hari, disiarkan berita mengenai kes jenayah seperti membunuh, merogol, dadah, buang bayi, lari dari rumah, masalah sosial remaja, kes-kes rumah tangga dan banyak lagi (jika hendak disenaraikan terlalu banyak). Ia dilihat seperti perkara biasa berlaku dalam masyarakat masa kini. Kes-kes dan masalah seperti ini juga ibarat sudah lali untuk dilihat dan mendengarnya. Puncanya boleh saya katakan bermula dari pemikiran yang pendek, akal yang cetek. Sedangkan jika kita kaji, akal ini sangat sempurna penciptaannya. Hal ini kerana akal berfungsi sebagai mengawal seluruh tubuh manusia. Melalui akal lah manusia dapat mengenal Allah iaitu penciptanya, begitu juga untuk meneruskan kehidupan, akal sangat diperlukan oleh manusia kerana setiap perbuatan, perlakuan, percakapan mestilah difikir dahulu tentang kebaikan dan keburukannya. Tanpa akal yang baik, kehidupan manusia juga tidak bahagia dan tenteram. Sebagai contoh, kita lihat pada pemikiran seorang penagih dadah. Setahu saya, golongan ini tidak dapat berfikir jauh seperti manusia yang normal. Apa yang ada di fikiran mereka hanyalah dadah, dan cara bagaimana untuk dapatkan duit membeli dadah. Akal mereka telah rosak dengan pengaruh dadah. Dalam Maqasid Syariah yang 5, salah satunya ada menyebutkan tentang hifzdul 'aql (memelihara akal). Hal ini kerana akal adalah keperluan yang penting pada setiap manusia. Tetapi berlainan pula keadaan kepada golongan yang menyalahgunakan akal seperi fahaman-fahaman dan idealogi bertentangan dengan Syariat Islam seperti liberalisme, muktazilah, orientalisme dan sebagainya yang menggunakan akal semata-mata sebagai panduan dan pegangan hidup. Golongan ini sangat menghargai akal tetapi mereka menggunakannya ke jalan kemungkaran iaitu dengan menyekutukan Allah SWT. Dengan wujudnya fahaman-fahaman dan idealogi inilah manusia hidup dalam kesesatan dan kejahilan. Sebagai kesimpulan, setiap sesuatu yang Allah SWT ciptakan adalah yang terbaik. Jika digunakan dan dihargai dengan sepenuhnya untuk menuju keredhaan Allah, InsyaAllah hidup akan diberkati selalu oleh Allah SWT. Gunakanlah akal dengan sebaiknya, berfikirlah dengan berhemah dan berhikmah.
Thursday, October 21, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)